Bekas Pengarang Berita BH meninggal
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarang Berita, Berita Harian pada 1970-an, Samani Amin meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, dekat sini, jam 6.55 petang, semalam.
Allahyarham Samani, 78, dikatakan mengalami serangan jantung awal pagi kelmarin yang menyebabkan beliau terjatuh dan mengalami luka di kepala.
Isteri Allahyarham, Azizah Ahmad, 68, berkata sebaik menyedari kejadian itu, beliau dan keluarga membawa suaminya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU).
"Ini kali pertama arwah mengalami serangan jantung. Malah, ketika kami berada bersama arwah di hospital Selasa lalu, arwah dalam keadaan ceria dan menyatakan beliau dalam keadaan sihat.
"Bagaimanapun, tengah hari tadi (semalam), kami tidak dibenarkan menemuinya kerana doktor mengesan arwah dikesan mengalami serangan jantung buat kali kedua pada jam 1 petang dan disahkan meninggal dunia petang tadi," katanya ketika dihubungi di kediaman Allahyarham di Lorong Haji Tahir, Kampung Batu 7, Jalan Kebun, Klang dekat sini, semalam.
Allahyarham bertugas selama enam tahun di Berita Harian sebelum dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 22 bulan pada 1976 bersama tokoh kewartawanan, Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak.
Selepas dibebaskan, Allahyarham menjadi penulis bebas sebelum menyertai Yayasan Syed Kechik. Pada 1983, Allahyarham bertugas di akhbar The Star dan bersara sebagai Pengurus Editorial akhbar berkenaan pada 1995.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak – pegawai di syarikat telekomunikasi, Marx Aidiet, 50; pensyarah komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Mus Chairil, 47; ahli perniagaan, Mas Dati, 44 dan bekas wartawan The Star, Mas Elati, 37.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Universiti, Jalan Kebun, Klang jam 10 pagi ini. (Berita Harian Online, 15 Januari 2009)
Komen:
Seorang lagi kawan wartawan meninggalkan kita. Alahyarham Samani Amin cepat mesra bergaul walaupun saya ketika itu (Disember 1971) baru berkhidmat dengan berita Harian sebagai Pemberita Kadet (Cadet Reporter) bersama dua yang lain, Shukor Rahman dan Chew. Saya diperkenalkan kepadanya oleh Ketua penyunting ketika itu, A. Samad Said (Datuk) dan Zainuddin Bendahara. A. Samad Said bos saya di Bahagian penyuntingan (subbing)sementara Allahyarham A. Samad Ismail (Tan Sri) bos besar kami sebagai Pengarang Urusan Berita Harian.
Pemergian Samani mengingatkan kami hubungan akrab dalam kalangan kami di Berita Harian dengan pejabatnya di Tingkat 3 Bangunan induk (lama) Bangunan New Straits Times. Siapa dapat melupakan wajah-wajah mesra kawan-kawan wartawan waktu itu, seperti A. Shukor Haron, Mali dan Salim Kajai di meja separuh bulat menghadap Bos A. Samad Said. Siapa dapat melupakan kawan-kawan yang lain seperti Zainuddin Bendahara, Zubaidah Abd. Rahman, Adibah Amin, Maarof Mohd Noh, Hamid Bendahara, Shahril Lembang dan Shafie Noor dan Hadzrami A.R.
Hari ini ada di kalangan kawan-kawan ini yang telah pergi dahului, ada yang sedang mengingat pengalaman masa lalu dan barangkali pula ada yang masih aktif menyumbang kepada media.Di manalah mereka sekarang ya!
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin!
Malaysia must aim to be a model state to the world in “Unity in Diversity”
by promoting global inter-civilisational dialogue, understanding, tolerance
and harmony
-
Malaysia’s Prime Minister, Datuk Seri Anwar Ibrahim is in Peru for the APEC
Summit and we are joining BRICS. Malaysia must aim to be model state to the
wor...
1 week ago
No comments:
Post a Comment