Thursday 10 July 2008

MOKHTAR YASSIN DI MATA ARBAK OTHMAN


Mokhtar Yassin menyendiri?

Mengapa Mokhtar Yasin diam diri?
Oleh ARBAK OTHMAN
SEBAGAI penyair yang terkenal pada tahun-tahun 50-an dan 90-an sehinggalah terhasilnya antologi berjudul Sedetik Dari Detik (1992), nama Mokhtar Yasin memang tidak asing lagi dalam sejarah perkembangan sastera tanah air.

Bagi saya, beliau lebih dikenali dalam bidang puisi. Ini kerana keterampilan beliau sebagai penyair dapat dibuktikan melalui seni cipta yang bermutu berbentuk puisi.
Nilai kesusasteraan lebih matang dan mantap dalam karyanya yang berbentuk puisi. Tanpa menafikan kemampuannya yang tinggi dalam genre cerpen dan drama radio, saya lebih terpagut pada karya puisi beliau kerana minatnya dalam kritikan puisi. Para pengkritik sastera tanah air seperti mahu mengiktiraf bahawa genre puisi Mokhtar memiliki ruang seni cipta yang dapat dikagumi dalam sejarah perkembangan puisi tanah air kita. Tatkala terimbas nama Mokhtar Yasin, peminat sastera sering mengaitkan beliau dengan slogan “Sepasang Lembu Tua”, iaitu puisi yang tersiar dalam Utusan Zaman, bulan Jun 1957.

Berdasarkan tahun terciptanya puisi tersebut, saya melihat sesuatu yang luar biasa dari segi seni ciptaan puisi Melayu jika dibandingkan dengan puisi-puisi penyair lain pada tahun yang sama mahupun sebelumnya.Kebanyakan puisi yang dicipta pada tahun itu, mahupun sebelumnya, bersifat romantis, iaitu ciri puisi yang terheret semenjak karya puisi ciptaan Muhamad Yasin Ma‘mor (Pungguk), dengan mengecualikan A. Samad Said dan Usman Awang kerana turut mengadakan pembaharuan dalam penulisan puisi Melayu.

Dalam puisi “Sepasang Lembu Tua” bukan pengalaman masyarakat itu yang penting, tetapi seni ciptaan yang menggunakan kilasan semantik sebagai teknik beliau menyampaikan falsafah kehidupan manusia pada waktu itu.Beliau menggunakan dua baris ujaran, iaitu sepasang lembu tua/kehilangan kasih manusia sebagai penutup puisinya yang sekali gus berfungsi sebagai penjana falsafah yang lebih luas daripada falsafah bahasa Melayu dalam karya. Kekejaman manusia menggunakan haiwan untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan betapa deritanya haiwan itu melaksanakan perintah tuannya terbukti benar sehingga hari ini.

Malahan ikan yu yang mati akibat siripnya dipotong untuk dijadikan sup paling nikmat kepada manusia terus menjadi mangsa pembunuhan manusia sekarang ini.
Kekejaman manusia seperti ini sering dijadikan alasan untuk menghalalkan perbuatan terkutuk dan tidak berperikemanusiaan seperti ini sebagai proses pembangunan ekonomi manusia. Kilasan seperti ini jarang berlaku dalam penciptaan seni puitik pada tahun-tahun 50-an kecuali yang bersifat prosaik, iaitu teknik kebahasaan langsung yang mengurangkan nilai kesusasteraan pada karya.

Mokhtar Yassin telah mencipta beratus-ratus puisi dari tahun-tahun 50-an hingga kini. Penulis mengenali beliau sebagai seorang guru yang disegani. Jiwanya halus terbawa dengan ketara dalam puisi-puisi ciptaannya. Struktur puisinya rata-rata menggunakan kata-kata dalam gabungan yang memikat perasaan, sehalus rasa dalam sanubari. Walaupun beliau tidak menghantarkan puisi-puisinya untuk diterbitkan dalam bentuk antologi ke mana-mana penerbit, seperti yang dinyatakannya dalam wawancara beliau dengan Mohd. Hanafi Ibrahim dalam Jambak 4 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (2002), beliau pernah terdetik tanpa sengaja untuk mengungkapkan rasa terkilannya kerana sebuah kumpulan puisi beliau pernah dihantar ke DBP untuk diterbitkan tetapi tidak mendapat sebarang jawapan hingga ke hari ini.

Seandainya tidak khilaf, ingin saya hantarkan kumpulan puisinya Sedetik Dari Detik bagi diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka. Itu pun sekiranya jawatankuasa penilai DBP mengiktiraf mutu karya Mokhtar berdasarkan garis panduan institusi tersebut. Sebagai seorang penggiat seni dalam wadah kerjasama dengan Gapena, selain bergiat memberikan latihan serta bengkel penulisan kreatif di negeri Melaka di bawah kelolaan bersama dengan persatuan Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) dan lain- lain, Mokhtar Yasin sewajarnyalah diberikan penghargaan atau pengiktirafan.
Ini sebagai menghargai usaha beliau sepanjang hayatnya sebagai pejuang bahasa dan kesusasteraan Melayu di negeri Melaka dalam konteks negara yang tercinta ini.

Kenangan sebegini tidak harus diberikan kepada beliau sahaja, tetapi juga kepada panyair lain seperti Nora di negeri Johor, Jaafar Hasny di Terengganu dan lain-lain.
Sumbangan Mokhtar tidak sedikit. Puisi beliau tersiar dalam pelbagai penerbitan seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Mastika, Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman dan lain-lain.Dalam bentuk buku pula karyanya terhimpun dalam Puisi Baru Melayu 1948-1960, Puisi Angkatan Baru, Di Bawah Mentari Khatulistiwa, Mengenangmu, Memoir Puisi Malaysia, Puisi-puisi Nusantara, Titian Zaman dan Bunga Gerimis. Sekarang ini beliau banyak melibatkan diri dengan telaah tuanya untuk merapatkan diri dengan Tuhan.

Akibatnya, beberapa puisi beliau akhir-akhir ini banyak berkisar pada pengakuan dalaman dirinya yang dirasakannya sentiasa serba lemah dan kurang, selain berhajat keampunan daripada Allah.


Di mana ada kegiatan Gapena di situ ada Mokhtar

Bukan di sini tempatnya untuk puisi-puisi beliau dibicarakan. Ruang yang terhad cukup untuk penulis lafazkan bahawa sumbangan beliau tidak terkira dalam dunia kesusasteraan Melayu. Semasa bertemu dengan beliau, biasanya setahun sekali, beliau sering menyebut-nyebut nama-nama yang dirinduinya seperti Kemala, Baha Zain, Allahyaram Usman Awang, Datuk A. Samad Said, Suhaimi Haji Muhammad dan lain-lain.
Saya menggolongkan puisi-puisi beliau antara yang teruja untuk dikaji, bahawa setakat yang telah beliau perhatikan, puisi-puisi beliau mempunyai tenaga tersendiri jika ditinjau dari sudut-sudut budaya dan linguistik-stilistik. Peminat sastera tentunya sedang menunggu-nunggu untuk melihat wajah terakhir seni karya beliau, terutamanya yang berbentuk puisi. (Petikan Utusan Malaysia)

Komen:
Mokhtar tinggal di Melaka, nun berhampiran sempadan Melaka-Johor dekat Sungai Kesang.Walaupn usia sedang diulit senja semangatnya memupuk sastera dan persuratan belum kunjung padam. Terutaman apabila beliau tidak serik-serik menghadiri kegiatan satera, hatta di Rumah GAPENA sendiri, yang jauhnya melampaui dua sempadan negeri (Melaka dan NS).

Syabas dan tabik hormat!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).