Sunday 27 July 2008

MARSLI N.O DENGAN DAERAH "KELABU"NYA


Daripada buku buku skrap Utusan Zaman

MENELUSURI DAERAH KELABU MARSLI N.O.

Marsli N.O. mengirimkan dua keluaran terakhir P-S 19 dan 20, sebuah wadah interaksi generasi baru kepada saya. Kedua-dua keluaran ini saya terima pada 27 Mac lalu. Menurut halaman awalan (prelim) wadah ini, P-S diterbitkan oleh Bengkel Teater Kuantan dan merupakan kumpulan karya kreatif/non kreatif generasi baru sastera. Keluaran No. 19 untuk tempoh Julai-September 1998, sementara keluaran No. 20 Oktober-Disember 1998. Catatan di halaman 31 P-S 20 agak menarik. Catatan itu berbunyi: Tahun 1998 akan berakhir. Hidup kita juga akan berakhir. Dan P-S keluaran ini juga mungkin yang terakhir. Tetapi sebelum tiba saat itu, kita berusaha memberikannya erti. Agar nanti bila kita pergi, hidup ini telah kita isi. Tentu saja bukan dengan hasad, iri, keghairahan mencantas atau menyediakan senarai kambing hitam.

Keluaran No. 20 P-S dimulakan dengan nukilan Marsli. N.O tentang hayat wadah ini sendiri. Kata Marsli N.O, "Keluaran kali ini merupakan keluaran terakhir bagi tahun 1998 dan jika ditelusuri dari tahun pertama terbitnya pada Januari 1994, bererti dengan keluaran ini genaplah sudah kita pada tahun kelima penerbitannya."

Saya tak pasti untuk tahun 1999 ini edisi seterusnya sudah diterbitkan atau belum. Jika dibaca catatan akhir P-S 20 nescaya tersirat rasa duka dan ketidakpastian Marsli tentang nasib wadah ini. Tanpa kekuatan kewangan dan hanya sekadar mengharap simpati luar dari teman-teman maka tidak mungkin P-S akan bertahan lama. Sejarah menunjukkan bahawa bagaimana tabah dan kuatnya semangat untuk meneruskan usaha, tanpa cukup wang, maka segala-galanya akan berakhir.

Dalam hal ini Marsli sedang berdepan dengan cabaran getir. Keluhan rasa dan simpatinya terhadap P-S adalah akibat kurangnya dukungan moral dan material yang diperlukan. Maka andainya P-S setakat bertahan hingga ke edisi 20, pastinya golongan yang dianggap Marsli sasterawan generasi baru tidak akan dapat lagi memanfaatkan wadah ini untuk menampung sebahagian karya mereka, paling-paling melakar ciptarasa untuk dihayati sesama mereka. Dan saya yakin melihat kandungan kedua-dua edisi P-S ini, orang yang bertanggungjawab menerbit dan mengedarkannya adalah Marsli sendiri. Keyakinan ini berputik dari pengakuan Marsli sendiri bahawa wadah tribulanan ini adalah dikeluarkan "dengan sumber kewangan peribadi dan sumbangan beberapa teman serta tokoh mapan seperti Dr. Othman Puteh, baik berupa benda mahupun karya."

Marsli mampu mengendalikan penerbitan P-S dalam bentuknya yang serba sederhana itu kerana dia telah hampir 20 tahun terlibat dalam apa yang dikatakannya sebagai penulisan "bersungguh-sungguh", iaitu sejak hasil ciptaannya berupa puisi mula mendapat tempat di Dewan Sastera pada Mei 1979 ketika berusia 22 tahun. Kemampuannya ini diperkuat oleh azam dan sikapm melawannya kerana ingin memberikan erti "terhadap hidup dan sastera saya sendiri." Dan P-S adalah wadahnya "untuk melawan" itu.

Ada yang berkata sikap melawan Marsli ini diasaskan kepada pencarian identiti dirinya dalam dunia sastera. Sebab mereka mengandaikan begitu ialah mereka kurang pasti apakah Marsli boleh dikategorikan sebagai anggota golongan penulis generasi baru Mereka bertanya apakah Marsli boleh digolongkan ke dalam penulis generasi baru sebab usianya tidak memungkinkan. Hari ini ramai yang mengkategorikan golongan penulis generasi baru yang usianya rata-rata dalam lingkungan 30an atau generasi yang lahir dalam tahun 1970an. Marsli, menurut mereka sudah mula menempah nama dalam dunia kesusasteraan "proper" pada tahun 1979 lagi.

Namun ada pula yang membuat garis pemisah yang lain. Bagi mereka pula usia bukan ukuran penentu sama ada penulis itu lama atau baru. Yang menjadi faktor penentu ialah pengkaryaan dan kecenderungan mengikuti aliran atau trend dalam penstrukturan ciptasastra. Biasanya ia dilihat dari sudut konvensional dan non konvensional atau apa yang disebut Marsli sendiri sebagai "sifat karya itu yang cenderung melanggar segala konvensi." Andainya dijadikan garis pemisah maka wujud sedikit keraguan terhadap status kedudukan Marsli sendiri. Sebabnya dua novel remaja dan kanak-kanak yang diterbitkan tidak menampakkan unsur yang melanggar konvensi itu. Barangkali unsur melanggar konvensi itu ada dalam karya-karya Marsli dalam genre puisi dan cerpen. Dan kalau pun ada unsur itu, maka apakah kita perlu kategorikan A. Ghaffar Ibrahim (puisi) dan Mana Sikana (cerpen) ke dalam golongan penulis generasi baru kerana mereka juga sering mencipta puisi dan cerpen yang mempunyai unsur melanggar konvensi.

Demikianlah, Marsli diyakini berada dalam kedudukan yang serba tak kena dalam penggolongan penulis ini. Dia berada di daerah kelabu, di tengah-tengah antara yang mapan dan yang baru. Bagaimanapun andainya pendapat Zainal Borhan mahu diterima maka status Marsli dalam pengelompokan generasi ini sedikit jelas. Zainal baru-baru ini melihat wujudnya kekosongan di antara kelompok penulis Othman Puteh, Mana Sikana, Mansor Abdullah, Abdullah Tahir dan Sahalan Mohd Saman dengan kelompok penulis Hizairi Othman, Mawar Shafie, Utahaya Sankar SB, Azmah Nordin dan Faizal Tehrani. Dalam hal ini Marsli berada di tengah-tengah kedua kelompok ini. Persisnya Marsli berada dalam jurang kekosongan ini tetapi lebih dekat dengan kelompok Hizairi dan kawan-kawan. Dan Marsli bolehlah dianggap sebagai "orang tua" dalam kelompok penulis baru ini.

Apapun jua, Marsli yang sering mengasosiasikan dirinya dengan generasi baru dengan menyebut "sahabat sasterawan segenerasi kita" berusaha mencari solidariti sesama mereka. Dalam P-S No. 19 Marsli bertanya, "Sahabat sasterawan segenerasi, di manakah solidaritasmu? Dan jika kalian ingin memberikan jawapannya, usahlah tujukan jawapan itu kepada saya. Tetapi tujukanlah kepada sekalian sahabat sasterawan generasi kita yang memang benar-benar memerlukannya." Kemudian Marsli bertanya pula mahu ke mana "para sasterawan generasi baru ini di tanah kesusasteraan negeri tercinta ini."

Pertanyaan Marsli ini seperti mengundang suatu tindakan yang revolusioner dalam kesusasteraan. Setidak-tidaknya Marsli mahu "sasterawan generasi muda" membentuk satu pakatan yang diikat dengan semangat solidariti di kalangan mereka dan yang bakal dinobatkan sebagai satu angkatan seperti yang pernah lahir pada tahun 1950an dahulu dan dikenali dengan "ASAS 50". Namun pertanyaan Marsli ini akan membuatkan Marsli tersepit di tengah-tengah. Sebabnya sudah wujud apa yang disebut sebagai kelompok penulis generasi baru yang memperjuangkan "Seni Untuk Ilmu", sebagai ganti kepada " Seni Untuk Masyarakat" yang diperjuangkan ASAS 50 atau "Seni Untuk Seni" sebelumnya. Apakah Marsli berada dalam kelompok ini dan andainya tidak apakah tidak mungkin dia akan tersepit dan terpinggir? Masih ingatkah kita tentang istilah "Penulis Lima" yang diperkenalkan Mawar Shafie di Pertemuan sasterawan Malaysia I di Johor Bahru April lalu?

Diyakini Marsli tidak akan mudah berkecil hati atau terkilan dengan istilah Mawar atau perjuangan untuk mewujudkan angkatan penulis generasi baru ini. Marsli punya pendirian sendiri. Malah tanpa solidariti di kalangan sahabat-sahabat sasterawan segenerasi, Marsli "sebenarnya sudah sejak lama bersedia untuk jatuh dan mati bersendirian. Bukan kerana merajuk atau tersinggung, apa lagi marah kerana perbuatan segelintir sahabat sasterawan segenerasi terhadap diri saya tetapi kerana saya sedar siapa diri saya."

Siapa Marsli N.O? Bagi saya Marsli telah mula keluar dari kepompong "keremajaan"nya, mula dewasa dengan sepak-terajang dunia kesusasteraan. Marsli adalah penulis yang rebah-bangun dan masak dalam sepak-terajang dunia itu. Dia "survive" setelah rebah dan bangun dan survivalnya itu dikaitkan dengan sindiran seorang gurunya ketika dia masih bersekolah dahulu. Gurunya menyindir bahawa Marsli "masih budak yang masih berhingus dan belum pandai mengeja, jadi tak usah bermimpilah hendak menjadi pengarang." Marsli mengakui bahawa tempelakan gurunya itu membuatnya "bertekad mahu membuktikan sindirannya itu adalah silap dan saya memang boleh menjadi seorang pengarang."

Marsli mula menempa nama dalam dunia yang disenanginya ini apabila sajak "Harapan"nya tersiar dalam Dewan sastera, Mei 1979. Setelah itu Marsli tidak lagi menoleh ke belakang. Sehingga kini telah banyak karyanya dalam bentuk buku diterbitkan, antaranya kumpulan puisi "Negeri Ini, Anak" (1994) dan "Hanya Kata" (1995); novel remaja "Di Daerah Asing" (1993) dan novel kanak-kanak "Mencari Misteri" (1997); serta kumpulan cerpen "Biduan" (1994) dan "Demi" (1998). Di samping itu Marsli gigih pula menerbitkan sendiri beberapa kumpulan puisinya seperti "Siapa Di Balik Sana" (1986), "Bla Bla Bla" (1990) dan "Ninabobok" (1993). Sementara itu beberapa buah daripada karyanya telah pula memenangi hadiah dan anugerah. Misalnya, sajak "Di Hadapan Buku-Buku" dipilih pemenang sagu hati Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1985), "Negri Ini, Anak" antara pemenang Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena (1989), cerpen "Belon" dan "Pembela" masing-masing terpilih sebagai pemenang hadiah Cerpen Maybank-DBP tahun 1993 dan 1994. Sajak "Begitu Kata Malam" pula adalah salah satu pemenang Hadiah Sastera Perdana 1996/97.

Mulai 1981 Marsli mula melibatkan diri dalam kegiatan terater dan kini dia memiliki sijil jurulatih teater. Antara guru teaternya yang tidak dapat dilupakan ialah arwah Abdul Aziz HM di samping Matari Rahman dan Zainal Latiff dan Samad Salleh dari USM. Ketika keterlibatannya dalam teaterlah Marsli mencipta "dengan membayangkan sebuah pentas dan mengandaikan cerpen saya sekaligus juga adalah sebuah naskhah yang boleh diangkat ke pentas, sama ada sebagai sebuah naskhah pentas yang sebenarnya atau juga sebagai naskhah yang saya bacakan secara langsung di depan khalayak."

Walaupun telah ada suara yang masih mencurigakan "keilmuan" Marsli kerana wujudnya puak"sasterawan generasi kita" yang berilmu seperti meminggirkannya namun sikap Marsli terhadap perjuangan yang baru bermula dalam mengetengahkan suara "generasi"nya seperti yang dinyatakannya dalam P-S bilangan 20 memberikan gambaran semangat kental Marsli. Antara lain katanya, "Kita sebagai generasi ini sebenarnya tidak wajar lagi menjadi pengekor yang membuta tuli baik dalam sikap mahupun konsep kesusasteraannya. Sesuatu mesti kita lakukan. Dan ini hanya akan dapat kita lakukan jika kita berani bersikap merdeka….Jika sekadar mahu menjadi pengekor, alangkah malangnya diri generasi kita. Tatkala orang sudah lama menjejaki bulan, tetapi kita masih lagi menjadi pungguk. Atau sebagai sasterawan kita sememangnya sekadar mahu menjadi pengekor yang melulu. Jika benar demikian, tunggulah saat penentuan itu. Jangan salahkan sesiapa kalau kau hanyalah debu yang akan disirnakan oleh angin!"

Dan menelusuri liku-liku kegiatan sastera Marsli saya tidak nampak yang Marsli (nama sebenarnya Ramli Selamat) akan menjadi debu yang akan sirna di tiup angin. Malah daerah kelabu yang selama ini menyelubungi dirinya dalam dunia sastera dilihat seperti "mega berarak" di langit nan biru!
A.F.Yassin
3 Jun 1999.

Komen:
Lama juga tidak kedengaran suara Marsli, apatah lagi melihat tampangnya. Barangkali maih menetap di Pahang atau telah berhijrah ke Kuala Lumpur.Apapun, beliau dikirakan masih terus menulis, terus kreatif dan masih belum melupakan kawan-kawan, terutama dalam kalngan penulis muda.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).