Menilai Sumbangan Tokoh Guru Zam
Oleh A.F.Yassin
“Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa
Dialah ibu dan dialah bapa juga sahabat
Alor kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat...
Dua rangkap puisi di atas nukilan Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang adalah sifat sempurna seorang insan yang bernama guru. Usman menyelam hati guru dan mendedahkan sifat sempurnanya kepada semua, terutama kepada mereka yang pernah menjadi murid kepadanya. Betapa benarnya Usman ketika mengkahiri puisi “Guru Oh Guru” ini dengan rangkapan:
Jadilah apapun, pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Penggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.”
Tafsiaran semangat yang menjiwai puisi Usman ini mengingatkan sumbangan seorang bekas guru yang juga seorang sasterawan, iaitu Haji Ismail Zamzam atau lebih dikenali dengan Zam Ismail. Sifat-sifat yang terlukis dalam puisi itu adalah sesempurna seorang guru bernama Zam. Walaupun sudah tidak lagi menulis di “papan hitam” sekolah namun Zam masih dekat dengan profesion perguruan. Katanya, “Saya guru dan pendidik dan sebagai seorang pendidik, sumbangan saya kepada masyarakat merentas waktu selagi hayat dikandung badan.”
Amat beruntunglah Zam yang pernah bertugas bekerja sebagai guru. Penyair Usman mengungkapkan sifat dan fungsi guru dengan keindahan budi dan hati melalui bait-bait yang puitis. Tidak seperti kebanyakan profesion lain, guru dihormati dan dihargai, malah diktiraf sepanjang masa, terutama oleh bekas muridnya. Profesion guru mempunyai harinya sendiri, iaitu Hari Guru yang disambut setiap tahun pada 16 Mei, dua minggu sesudah rakyat menyambut Hari Pekerja. Maka untungnya guru, bukan sahaja mereka merayakan Hari Guru tetapi juga Hari Pekerja. Zam menerima anugerah tertinggi pendidikan itu bersama lima tokoh guru atau bekas guru yang lain, iaitu Tan Sri Dr. Murad Mohd Noor (74) yang menerima Anugerah Khas Menteri Pelajaran Untuk Kepemimpinan Pendidikan. Tokoh-tokoh guru yang lain ialah Alice Wee Siew Eng (63), Krihnasamy a/l Thambusamy (62), Wan Safinah Saleh (61) dan Ali Suhaily (60).
Zam mewakili kaum guru dan bekas guru yang kegiatan kokurikulumnya adalah dalam bidang persuratan. Anugerah ini akan menempatkan Zam yang berlatarkan kesusasteraan sebagai sumber ilham pula kepada para sasterawan yang menjadikan pendidik sebagai kerjayanya. Dan anugerah Tokoh Guru 2004 yang diterimanya itu adalah puncak daripada siri anugerah tokoh guru yang telah diterimanya sempena Hari Guru.
Dua tahun dahulu, Zam diiktiraf sebagai Tokoh Guru Johor. Setahun sebelumnya, Zam dipilih sebagai Tokoh Guru Batu Pahat. Sementara pada tahun 1996 Zam menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan. Rahsia kejayaannya? “Tidak ada rahsia,” katanya. “Hanya diperlukan sikap positif ketika mendidik pelajar supaya mereka bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah berakhlak tinggi, berwawasan dan berperi kemanusiaan yang secara langsung membentuk masyarakat bertanggungjawab.”
Kerjaya terakhir Zam dalam bidang pendidikan ialah sebagai Ketua Sektor Bahagian Teknologi pendidikan, di Kementerian Pendidikan Malaysia (1993-1996). Sebelumnya Zam merupakan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, ketika itu dikenali juga sebagai Atace pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Pejabatnya terletak di Jalan Budikemuliaan di Jakarta Pusat. Zam bertugs selama tiga tahun (1990-1993). Pengalamannya sebagai guru, pengetua sekolah (terakhir sebagai pengetua Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak (SEDAR), Seremban melengkapkan sahsiah dirinya sebagai pendidik yang tidak pernah kenal erti letih dan bosan.
Lulusan Sarjana Pendidikan Universiti Iowa Utara, USA ini bergiat aktif dalam bidang persuratan secara berterusan. Ini merupakan salah satu kriteria anugerah kecermelangan dan Zam mewakili bidang persuratan. Proses pengembangan ilmu yang diamalnya secara berterusan dalam bidang ini tidak terbatas kepada penulisan buku-buku yang ada kaitannya dengan alam persekolahan. Zam turut berperanan menerbitkan hasil-hasil persuratan dan penyelidikan sejarah melalui jawatan terkininya sebagai Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor.
Kini beliau telah menerajui penerbitan hampir 30 judul buku melalui yayasan ini. Antara judul-judul terakhir yang diterbitkan ialah “Shaharom Hussain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat yang pelancarannya disempurnakan sempena Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru baru-baru ini, “Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor, 1529-1855” dan “Usman Awang Penghubung Sastera Moden Dengan Akar Tradisi.”
Zam menyahut seruan Kerajaan Johor agar “pulang kampung” untuk memberi sumbangan kepada anak negeri Johor. Menteri Besar, Datuk Abd. Ghani Othman ketika mulai memegang tampuk kuasa kerajaan di Johor satu dekad yang lalu telah menyeru cerdik pandai anak Johor kembali berkhidmat di negeri sendiri. “Alhamdulilah, saya memilih jalan yang betul dan kembali ke pangkuan negeri yang pernah mendidik saya sebagai guru,” kata Zam ketika ditemui dalam Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru, 5 Mei lalu.
Bidang persuratan adalah wadah Zam dalam dunia pendidikannya. Malah Zam memberi ruang untuk kesusasteraan bertapak di arena pendidikan. Dalam kegiatan ko-kurikulum, misalnya, di mana sahaja Zam ditempatkan dia memberi nafas kepada kesussteraan. Zam bertugas sebagai Guru Kanan bagi Matapelajaran Bahasa Melayu dan Sastera Sekolah Tinggi Kluang pada tahun 1972 hingga tahun 1979. Pengalaman berkarya ditambah pula dengan pengaruh karyanya memungkinkan pelajar lebih mesra berinteraksi dalam bilik darjah. Satu kelebihan kepada pelajar untuk memahami dan menghayati ajaran Zam.
Pada tahun 1995 pula Zam dilantik sebagai anggota Panel Penasihat Penulisan Buku Teks Bahasa Melayu Kementerian pendidikan. Dua tahun kemudian Zam ditugaskan menulis buku-buku teks sastera dan panduan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Barangkali pengalamannya sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Penggubal Kertas Soalan Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM pada tahun 1981 sebelumnya menjadi pendorong kepada pihak terbabit untuk melantik Zam menulis buku teks sastera.
Kegiatan Zam di luar bidang perguruan adalah sepenuhnya dalam bidang kesusasteraan. Malah Zam amat terhutang budi dengan dunia kesusasteraan kerana melalui kegiatannya yang berterusan dalam dunia itulah dia diberi penghormatan untuk terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Guru Nasional 2004. Zam mula bergiat sejak tahun 1966 lagi apabila dia mengasaskan penubuhan Persatuan Penulis Johor (PPJ). Zam menjadikan PPJ platfomnya pula untuk bergiat di peringkat nasional mulai tahun 1972. Menurut catatan, Zam merupakan salah seorang tokoh kesusasteraan negeri Johor yang paling lama memegang jawatan Ketua Satu PPJ, iaitu selama 14 tahun. Zam dipilih Ketua Satu pada tahun 1967 hingga 1969. Kemudian dia dipilih semula pada tahun 1973 hingga tahun 1984. Dua tahun kemudian Zam dilantik sebagai Penasihat tetap PPJ sehingga sekarang.
Dalam pemilihan jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional bulan lalu, Zam terpilih sebagai seorang daripada lima anggota biasanya, mengalahkan dua calon kawakan dari Selangor seperti Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Dato’ Samad Maharuddin dari Kemudi. Di peringkat antarabangasa Zam terlibat aktif dalam kegiatan sastera budaya dalam lingkungan Sijori (Singapura-Johor-Riau). Zam dipilih sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Majlis Kerjasama Persuratan (MAKEP) Rantau Selatan, Singapura, Johor dan Riau (2002).
Yang mengharumkan namanya ialah kegiatan memfokuskan karya puisinya dalam majlis-majlis rasmi anjuran institusi kerajaan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan. Misalnya, sempena perayaan Hari Ulang Tahun ke-100 Batu Pahat beberapa tahun yang lalu, Zam diminta mencipta puisi khas yang dibacakan dalam perayaan. Sebuah puisinya dibacakan dalam majlis sempena perayaan Hari Kebangsaan peringkat nasional di Dataran Merdeka pada tahun 2000. Puisi berjudul “Bersatu Ke Alaf Baru” bergema ketika berlangsungnya lintas udara jet pejuang TUDM di hadapan dhif-dhif kehormat dan orang ramai yang diketuai Duli Yang Dipertuan Agong.
Puisi yang dicipta pada 15 Julai 1999 itu membabitkan tujuh rangkap. Dalam hening pagi di hari bertuah, bergema kata-kata keramat dari bait-bait syahdu antaranya dua rangkap yang paling mengharukan:
“...Siapalah kita
kalau bukan warga sebuah negara merdeka
Siapalah kita
di arena antarabangsa
bersedia mendengar suara
kalau bukan warga sebuah negara
berdaulat dan merdeka.
... tiada kematian paling nikmat
selain mengasihi tanah leluhur
dan tanah kelahiran ini
di sini di bumi keramat ini
cinta kita terus seubur bersemadi.”
Di Pulau Pinang sebelumnya, Zam diberi penghormatan untuk membaca puisinya dalam majlis pelancaran Tahun Membaca. Pada tahun 1989, Zam terpilih untuk mewakili negara dalam Festival Baca Puisi Dunia di Yugoslavia.
Tidak ada yang lebih mengharukan Zam sebagai Tokoh Guru Nasional selain melihat seorang bekas anak muridnya mencium tangannya ketika Zam menerima cenderahti daripadanya. Anak muridnya itu, Datin Halimah Saddique kini merupakan seorang exco kanan Kerajaan Negeri Johor. Zam baru sahaja selesai membentangkan kertas kerja tentang Gapura Sastera Di Atas Bukit dalam seminar sehari pemikiran Sahaharom Hussain.
Demikianlah, kesusasteraan, khususnya puisi, menjulang nama Zam bukan setakat sebagai sasterawan tetapi juga sebagai pendidik. Pe ngiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan tidak akan berjaya dirangkulnya tanpa kesusasteraan menjadi latar kegiatannya. Zam memperkasa kesusasteraan dalam profesion gurunya, sebagaimana halnya dia meningkatkan kerjaya perguruannya melalui penglibatannya dalam bidang kesusasteraan. Dan tidak ada cara yang paling efektif untuk mengenang jasanya selain pengiktirafan tertinggi sebagai Tokoh Guru Nasional 2004 yang anugerahnya disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad badawi di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 15 Mei 2004 lalu. Ends.
Malaysia must aim to be a model state to the world in “Unity in Diversity”
by promoting global inter-civilisational dialogue, understanding, tolerance
and harmony
-
Malaysia’s Prime Minister, Datuk Seri Anwar Ibrahim is in Peru for the APEC
Summit and we are joining BRICS. Malaysia must aim to be model state to the
wor...
4 days ago
salam kenal ....
ReplyDeleteMemang diakui ketokohan beliau.
ReplyDeleteMSA
SDAR85'
I NEED HIS PROFILE
ReplyDelete